Thursday 3 July 2014

Ganti Kelas Melalui Rakaman Video, Pendapat saya.

Pagi-pagi mengelamun.

Teringat sebabak dua situasi di U. Ada seorang pensyarah aku ini, beliau menggunakan evolusi kecanggihan teknologi dalam media sosial sebagai salah satu contoh untuk menerangkan konsep yang sedang kami pelajari ketika itu. Meringkaskan penerangan tersebut, beliau menganggarkan kaedah pembelajaran di masa hadapan, mungkin akan dilakukan hanya melalui media sosial tanpa memerlukan kehadiran pensyarah dan pelajar di kelas mahupun di dewan kuliah. 

Kaedah itu berkonsepkan rakaman video yang mungkin lebih mashyur digunakan oleh para-para remaja untuk membuat tutorial memakai shawl dan seumpamanya. Sejentik idea itu meresap dalam pemikiranku, kaedah itu sudahpun digunapakai dalam salah satu subjek yang aku galas semester 2 ini. 

Bagaimana? Kami membuat pembentangan mengenai tajuk tugasan tertentu dan ahli kumpulan merakamkan pembentangan itu secara bergilir-gilir. Ini kerana bilangan pelajar yang mencecah ratusan orang, menipiskan peluang untuk membuat pembentangan per sekumpulan secara langsung di dewan kuliah. Maka dengan itu, kaedah ini menjadi alternatif pensyarah untuk menilai pembentangan pelajarnya yang ramai.

Teori yang didedahkan serta aplikasi yang dipraktikkan dalam situasi yang berbeza membuat aku terfikir sesuatu. Antara perkara-perkara yang mengeratkan hubungan pelajar dan pensyarah ialah pada ketika mengatur waktu yang paling sesuai untuk ganti kelas yang perlu diganti dek kerana urusan yang tidak boleh dielakkan. Adakalanya perkara sebegini membuat kedua belah pihak tersepit dalam membuat keputusan yang dipersetujui ramai memandangkan setiap individu mempunyai masalah dan kekangan masa masing-masing.

Mungkin kaedah pembentangan melalui rakaman video boleh dipraktikkan untuk menggantikan masa yang perlu diganti itu. Mengajar dan bersyarah melalui rakaman video, ada kebaikan dan keburukkannya. Apa yang boleh aku fikirkan secara santai, keburukkannya, besar kemungkinan, 
1. Tidak semua pelajar berkemampuan/mahu untuk mengakses video tersebut. Pastinya memerlukan kemudahan internet, kan.
2. Tempoh yang lama untuk memuatnaik video tersebut ke portal mahupun laman youtube.
3. Komunikasi hanya berbentuk sehala sahaja (walaupun dalam dunia realiti pun sebahagiannya memang berbentuk sehala saja) dan beberapa banyak lagi keburukan yang boleh disenaraikan, andai itu yang ingin ditonjolkan betapa banyak kekurangan hasil perlaksanaan kaedah ini.

Sementara itu, ada beberapa kebaikan / kelebihan kaedah sebegini dalam konteks untuk mengganti kelas. 
1. Mudah dirujuk kembali terutamanya mengambil penerangan pensyarah yang tak terdapat di dalam 'slide' pembentangan.
Hahaha. Nampaknya, satu saja yang aku boleh fikirkan ketika ini. Tapi ya, masa seminggu sebelum peperiksaan, untuk subjek teori, aku lebih banyak mengingati sebabak dua situasi dalam kelas. Dan aku mula,
" ah, pensyarah tu ada cakap pasal ni, tapi lupa lah pula."
"Aku ingat yang kata kata kunci ini, tapi macamana nak buat ni?"
dan banyak lagi monolog diri yang keluar berkali-kali rasa macam refresh web otak saja. Rasa macam nak rakam semua sesi pembelajaran dalam kuliah untuk tengok balik. Salin nota masa kuliah, kadang rasa diri macam robot. Salin apa yang dilihat, selalunya ketinggalan untuk mendengar. 

Ada satu subjek ni, memang subjek aku paling lemah lah. Pantang terleka sekejap atau tidak salin nota, 90% lagu kehilangan oleh Firman berdesing di telinga. Aku biarkan di setiap kelas begitu. Dengan harapan, balik rumah aku belajar balik, tapi ternyata bila tengok nota yang aku salin membingungkan aku dua kali ganda. Akhirnya, ujian 1 aku menunjukkan betapa fahamnya aku dalam kelas. Keputusan ujian diterima diiringi dengan 2 pilihan. 'Drop' subjek atau ubah sikap. 

Aku pilih pilihan kedua. Dalam seminggu ada dua kelas, tapi kalau ditambah dengan bilangan kelas tapi berbeza kos. ada 4 kelas dalam seminggu. Kelas yang pertama, aku habiskan dengan menyalin nota selengkap-lengkapnya. Masuk ke kelas ku pada harinya, aku mendengar, melihat, dan setiap perubahan langkah dan nota yang telah aku salin, menambah sedikit coretan kecil agar aku lebih faham. Itu merupakan hari paling bahagia sejak aku masuk kelas tu, sebab aku faham. Malangnya, hari itu sahaja aku mampu buat begitu kerana nyata beberapa timbunan tugasan subjek lain semakin menghimpit masa tidur, emosi, dan fikiranku. Buat aku lupa nak berubah.

Kembali kepada topik(hahaha), secara peribadi, aku rasa mengganti kuliah melalui kaedah ini berbaloi untuk dipertimbangkan. Hanya untuk keadaan yang memerlukan penggantian kelas secara teori khususnya.

Satu perkara yang aku pasti, aku tak mahir dalam buat nota-mota ni. Baca buku, buat nota sambil rujuk buku, rasa macam mahu buat buku teks secara tulisan tangan. 

Apa pun, sekadar kenangan semester 2 yang melintas tiba-tiba di awal pagi ini, masa cuti semester pula tu. Pelik. Habis peperiksaan akhir memang bahagianya macam tak terkata, dah larut dalam hari-hari cuti semester ni, mula lah terfikir keputusan peperiksaan nanti macamana. Yang pasti, subjek yang satu tu, aku pasrah ja. 

p/s:Memandangkan post ini lebih tertumpu kepada kehidupan pelajar yang melibatkan warga pendidik tak kira cikgu sy sekolah rendah&menengah dan sebilangan rakan-rakan seperjuangan yang bakal/dah jadi cikgu, pensyarah poli dan universiti. kalau ada kata-kata mahupun sudut pandangan saya yang telah mengguris hati dan perasaan rakan2 fb yg membaca, mohon maaf zahir dan batin ya. 

No comments:

Post a Comment